"Tiada lagi Ironman Malaysia tahun hadapan," demikian kata Pengarah Urusan Ironman Asia, Geoff Meyer, mengenai status penganjuran acara berprestij itu yang sudah tamat tempoh kontrak tiga tahun seperti ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Ironman mula dianjurkan di Malaysia sejak tahun 2000, bagaimanapun, ia dihentikan seketika selepas 2010 sebelum kembali dianjurkan pada 2014.

Perjanjian tiga tahun di antara pihak Ironman Asia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia itu berakhir tahun ini.

Meyer berkata Malaysia tidak bercadang untuk melanjutkan lagi kontrak penganjuran Ironman buat tahun hadapan.

“Buat masa ini, kami telah melengkapkan perjanjian penganjuran selama tiga tahun di sini.

"Kini, kami juga tidak mempunyai sokongan daripada segi kemudahan dan struktur kewangan daripada pelabur untuk meneruskan penganjuran. Kami telah cuba apa yang kami mampu,” ujar Meyer.

Keputusan itu mengundang rasa hiba buat atlet yang terlibat dengan rata-rata mengakui trek di Langkawi adalah antara paling mencabar dalam siri penganjuran Ironman di seluruh dunia.

"Sedih kerana sebagai rakyat Malaysia, kami tidak lagi menyertai Ironman di Langkawi. Ia memberikan kemudahan untuk kami jika dibandingkan membuat penyertaan di luar negara,” kata Amran Abdul Ghani, peserta terbaik Malaysia dalam Ironman 2016.

“Impak terhadap ekonomi Negeri Kedah dan Pulau Langkawi amat positif dengan adanya Ironman. Sayang, jika penganjuran ini tidak diteruskan di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, yang juga peserta pertandingan itu.