Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, menyifatkan rayuan yang ingin dibuat oleh atlet yang dijatuhkan hukuman gantung empat tahun ekoran kes doping sebagai sia-sia.

Mohamad Fazrul Azrie Mohdad adalah salah seorang daripada lima atlet angkat berat yang digantung selama empat tahun selepas disahkan positif doping.

Dia bertekad ingin mengemukakan rayuan bagi mengurangkan tempoh hukuman yang ditetapkan.

Ayub, bagaimanapun, menganggap peluang Fazrul sangat tipis berikutan ia adalah hukuman mandatori melibatkan bahan terlarang, stanozolol (sejenis steroid anabolik), yang membantu meningkatkan prestasi.

Namun, PABM tidak menghalang andai Fazrul dan empat atlet lain yang terlibat jika mahu mengemukakan rayuan selepas ini.

"PABM tidak akan menghalang jika mereka mahu mengemukakan rayuan.

"Namun, rayuan tersebut perlulah berasas.

"Mereka perlu mengingati bahawa penggantungan empat tahun tersebut merupakan hukuman mandatori.

"Mereka tiada pilihan selain menjalani hukuman tersebut," katanya.

Hukuman berat yang dijatuhkan adalah petanda daripada PABM bahawa mereka amat tegas dalam menangani kes seumpama itu.

Ia bertujuan bagi memastikan atlet-atlet lain tidak terpengaruh dengan penggunaan bahan terlarang.

"Kami telah diberikan amaran oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa mereka akan menyisihkan sukan angkat berat andai perkara seperti itu berterusan.

"Ia akan menjadi kerugian yang besar buat sukan ini," katanya lagi.

Sementara itu, Ayub mengesahkan PABM akan memberi kelonggaran kepada dua atlet yang sedang memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dua atlet tersebut adalah Aznil Bidin dan Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad.

Mereka dibenarkan untuk beraksi dalam kejohanan antarabangsa yang menawarkan mata kelayakan pada Februari dan April tahun depan.

Sebelum ini, PABM menggantung penyertaan skuad angkat berat negara ke kejohanan antarabangsa selama setahun yang akan berakhir pada Mei 2019.

"Atlet yang memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik akan dibenarkan untuk bertanding.

"Ini kerana mereka masih berpeluang untuk mengejar mata kelayakan tersebut," katanya.