Datuk Nicol David meninggalkan kenangan manis kepada peminat skuasy tanah air menerusi penampilan khas di gelanggang kaca untuk dua hari menerusi inisiatif 'The Dream Remains'.

Program The Dream Remains itu merupakan inisiatif global daripada Nicol untuk meluaskan pengaruh sukan skuasy.

Penganjuran pertunjukan dan klinik di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil itu semalam dan hari ini mendekatkan Nicol dengan pemain muda negara.

Malah, dia memberikan peluang kepada dua pemain muda yang bertuah untuk berentap dengannya menerusi pertemuan satu set yang istimewa.

Usai menghiburkan peminat yang memenuhi Arena Nicol David, bekas pemain nombor satu dunia itu menegaskan kemahuan untuk terus berbakti kepada sukan skuasy menerusi jenama The Dream Remains.

"Ia merupakan perlawanan yang menarik dan semestinya mereka memiliki potensi dan bakat untuk berkembang menjadi pemain yang lebih berkualiti pada masa akan datang," kata Nicol.