Kerajaan Negeri Terengganu melalui Majlis Sukan Negeri (MSNT) akan melancarkan ‘Road To Tokyo 2020’ -- satu program pembangunan dan persiapan khusus untuk atlet di negeri itu menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata melalui program itu, beberapa atlet akan dikenal pasti sebelum diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan seterusnya melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu.

“Seperti kita sedia maklum, bidang sukan di Terengganu hari ini sudah mencapai tahap yang tertinggi, jadi kami mahu meneruskan pencapaian cemerlang dan keunggulan ini.

“Kami bakal menyediakan program ‘Road To Tokyo 2020’, iaitu persiapan atlet-atlet yang akan dikenal pasti untuk diketengahkan.

“Program ini akan diumumkan dalam Bajet 2017 negeri ini yang akan dibentangkan bulan depan kerana kami yakin atlet-atlet Terengganu mampu dijulang ke peringkat tertinggi.

“Kejayaan di peringkat kebangsaan dan Asia perlu diteruskan dan kini masanya kami memberi fokus untuk kejayaan lebih besar,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahmad Razif turut mengumumkan sebanyak RM35 juta berjaya dikutip Tabung Pembangunan Sukan Negeri Terengganu (TPSNT) untuk tahun 2017 melalui penaja, berbanding RM23j yang diraih untuk tahun ini.

“Terima kasih kepada semua pihak penaja tahun ini dan juga yang memberi sumbangan untuk tahun hadapan.

“Kutipan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pencapaian bidang sukan di Terengganu akan terus cemerlang sambil disertai penglibatan pihak penaja,” tambahnya selepas Majlis Penggiat Sukan, Penaja dan Atlet Olimpik di Kuala Terengganu, kelmarin.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ke majlis itu.