Penembak negara, Ezuan Nasir Khan, bertekad untuk bangkit selepas gagal menyerlah dalam Kejohanan Menembak Terbuka Selangor, minggu lalu menjelang Sukan Komanwel di Gold Coast, April depan.

Dalam kejohanan di Lapang Sasar Subang itu, Ezuan sekadar meraih pingat perak 10 meter air rifle dan 50m rifle prone. Kegagalan dalam kempen itu menguatkan lagi keazamannya untuk meningkatkan prestasinya.

"Apabila prestasi jatuh, ia akan menguatkan lagi semangat saya untuk bangkit," ujar pemegang rekod Sukan SEA 10m air rifle itu.

Dalam masa sama, Ezuan masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jaket menembak barunya.

Apapun, pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 itu menyifatkan adalah lumrah kepada mana-mana penembak yang memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan jaket baru.

"Kebiasaannya, penembak memerlukan di antara tiga hingga empat bulan untuk menyesuaikan diri dengan jaket baru. Pengalaman dan jaket baru ini adalah daripada jenama yang sama dan ia membantu saya dalam kejohanan itu. Dalam tempoh sebulan dua ini, saya yakin mampu mengatasinya," ujarnya lagi.