Terasa seperti kisah novel -- Siti Noor Radiah

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2016 26
Terasa seperti kisah novel -- Siti Noor Radiah

Itu reaksi pemegang pingat gangsa lompat jauh wanita T20 Sukan Paralimpik, Siti Noor Radiah Ismail, yang mengakui tidak pernah bermimpi untuk diraikan dalam suasana yang amat meriah sebaik tiba dari Rio.

Bagi peminat tegar novel cinta seperti Siti Noor Radiah, kehidupannya ketika ini ibarat watak dalam kisah novel yang pernah dibacanya sebelum ini.

Bermula dengan insan biasa, Siti Noor Radiah sendiri tidak menyangka dia kini merupakan ikon negara yang sering menjadi tumpuan.

"Saya tidak menyangka diraikan sebegini rupa. Saya rasa seperti di dalam mimpi," ujarnya.

Beberapa syarikat korporat turut tidak ketinggalan menyumbang imbuhan dan kemuncaknya adalah penyerahan hadiah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dan insentif tambahan yang diterima sebanyak RM300,000 pada Sabtu.

Rakan seperjuangan yang juga merupakan pemegang emas lompat jauh lelaki T20, Abdul Latif Romly turut berkongsi perasaan yang sama sambil merujuk kepada perhatian netizen dan juga sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak.

"Pengorbanan yang saya lakukan ini rasa sangat berbaloi. Saya terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga tetapi mampu meaih emas ini menjadikan pengorbanan saya sangat berbaloi.

"Saya juga tidak pernah membayangkan akan memakai pakaian sebegini, ini kali pertama buat saya," kata Abdul Latif yang berkot dan bertali leher pada majlis penyampaian SHAKAM itu.

Dalam pada itu, ada pesanan daripada jurulatih lompat jauh Paralimpik, Syahrul Amri Suhaimi, buat dua orang anak buahnya ini.

"Saya berharap mereka akan kekalkan momentum mereka dan tidak lupa diri dengan apa yang mereka raih daripada kejayaan ini. Saya mahu mereka lebih berusaha lagi untuk masa akan datang," katanya.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen