Taekwondo Jemputan MVB: 645 atlet bakal bersaing 

Oleh Willie Jude 19 November 2019 45
Taekwondo Jemputan MVB: 645 atlet bakal bersaing 
Seramai 645 atlet akan bertarung dalam Kejohanan Taekwondo Jemputan MVB 2019 di Palm Square, Center Point Sabah (CPS), Kota Kinabalu, bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Kejohanan edisi ketiga itu menawarkan 96 pingat emas dengan melibatkan empat peringkat umur iaitu, 9-11, 12-14, 15-17 dan 18 tahun ke atas kategori lelaki serta perempuan.

"Disiplin tempur di peringkat umur 9-11, 12-14 dan 15-17 tahun masing-masing menawarkan 10 pingat emas, manakala di peringkat umur 18 tahun ke atas, ia menawarkan lapan pingat emas untuk kategori lelaki dan perempuan.

"Selain itu, kejohanan ini juga mempertandingkan disiplin seni atau poomsae dengan melibatkan acara perseorangan lelaki dan perempuan, acara campuran dan acara berpasukan lelaki serta perempuan untuk setiap peringkat umur," jelas ketua jurulatih Kelab Taekwondo MBV Sabah, Master Barry Voon, dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurutnya, selain penyertaan dari seluruh negeri Sabah, kejohanan tiga hari itu juga akan membabitkan penyertaan atlet dari negeri jiran, Sarawak, serta daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Kejohanan dwitahunan itu diperkenalkan pada 2015 yang menyaksikan kejohanan sulung di Dewan Masyarakat Damai, Luyang, itu dijuarai oleh pasukan Borneo Tiger dari Lahad Datu.

"Dua tahun lalu dalam kejohanan edisi dua di Putatan, pasukan tuan rumah, MBV, muncul selaku juara keseluruhan."



 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen