Sze Yuin mula congak cabaran Sukan Komanwel 2018

Oleh Penulis Jemputan 25 November 2017 61
Sze Yuin mula congak cabaran Sukan Komanwel 2018
Ketua jurulatih skuad bola keranjang wanita negara, Yoong Sze Yuin, mahu melupakan kejayaan meraih pingat emas dalam Sukan SEA 2017, sebaliknya memulakan persiapan bagi menghadapi Sukan Komanwel 2018. 

Beberapa pemain senior seperti kapten pasukan, Izzati Yaakob, Pang Hui Phin dan R. Kalaimathi merupakan antara watak utama yang memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad bola keranjang wanita kebangsaan dalam temasya Kuala Lumpur 2017.

Pengaruh mereka begitu besar dalam memastikan kesinambungan dalam skuad itu sehingga layak beraksi di Gold Coast, Australia secara merit.

Bagaimanapun, Sze Yuin menegaskan pemain senior tidak terkecuali daripada menjalani ujian pemilihan jika mahu berada dalam program 2018.

"Saya mempunyai sesi pemilihan dari 2 hingga 5 Januari 2018 sebelum meneruskan kembali program kami.

"Sebenarnya, kami memiliki beberapa pelapis muda yang berbakat dan saya akan melakukan pemilihan semula," katanya.

Sze Yuin juga yakin keputusan di Gold Coast penting dalam menentukan nasib mereka untuk disenaraikan ke Sukan Asia 2018.

Atas sebab itu, dia meletakkan sasaran untuk anak-anak buahnya nanti menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.

"Lebih baik kami meletakkan sasaran ke separuh akhir kerana pasukan-pasukan seperti New Zealand, India dan Jamaica agak sukar untuk ditewaskan.

"Jadi, kami perlu mengharungi perlawanan satu demi satu dan berasakan India dan Jamaica adalah lawan yang bagus buat kami," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen