Penembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi gembira dengan perkembangan terkini Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang yang akan dibuka dalam masa terdekat jika lulus ujian pemeriksaan aspek keselamatan Polis Diraja Malaysia, esok.

Skuad menembak negara tidak sabar kembali ke gelanggang keramat mereka.

Latihan berpindah ke Bukit Jalil sejak Jun lalu, iaitu selepas Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang itu ditutup ekoran berlaku kes bunuh diri.

Venue tersebut dijangka dibuka semula hujung bulan ini atau awal Disember -- jika mendapat kelulusan PDRM.

"Semua kejohanan tempatan dijalankan di Subang dan kami sangat merindui untuk kembali berlatih di sana," kata Suryani.

"Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang telah banyak melahirkan barisan penembak negara bertaraf dunia," kata jurulatih menembak negara, Mohd Sabki Mohd Din.

Banyak kejohanan terpaksa ditunda atau dibatalkan dan Kejohanan Kebangsaan yang dijadual bermula Rabu depan bakal menjadi kejohanan pertama selepas ia dibuka semula.