Sukma: Terengganu teruskan elaun atlet, jurulatih

Oleh Tengku Danish Bahri 2 April 2020 59
Sukma: Terengganu teruskan elaun atlet, jurulatih
Terengganu akan menunggu pengesahan tarikh Sukan Malaysia (Sukma) di Johor sebelum memutuskan sebarang perubahan pembayaran elaun dan gaji atlet dan jurulatih.

Menurut sumber, buat masa ini, bayaran fasa ketiga masih diteruskan sehingga Mei ini dan perubahan hanya akan dibuat sebaik mendapat tarikh baru Sukma.

Terengganu menerusi Majlis Sukan Negeri (MSNT) juga bakal menilai kontrak jurulatih yang akan tamat untuk pembaharuan sehingga temasya dwi-tahunan ke-20 itu nanti.

Perkembangan itu dikongsi setelah MSNT mengadakan mesyuarat pengurusan secara persidangan video semalam, yang turut melibatkan isu-isu lain.

"Melalui perbincangan antara semua pengarah Majlis Sukan Negeri, kami dimaklumkan Sukma ke-20 di Johor mungkin diadakan pada Mac tahun depan.

"Berkaitan umur, pengarah-pengarah akan memohon kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukma untuk membenarkan penyertaan atlet berusia 22 tahun pada 2021," katanya.

Sukma 2020 di Johor dijadualkan bermula 11 Julai, namun jawatankuasa tertinggi pada 25 Mac lalu sebulat suara menangguh kejohanan itu akibat penularan wabak Covid-19.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen