Skuad sepak takraw Terengganu akan menggugurkan lima daripada 20 pemain untuk membawa cabaran dalam Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.

Ketua jurulatihnya, Mohd Futra Abdul Ghani, berkata setakat ini peluang masih terbuka untuk kesemua pemain merebut tempat susulan penangguhan Sukma sehingga Mac.

Dengan membariskan 60 peratus muka baharu dalam skuad kali ini, Terengganu menurut Futra juga kekal dengan sasaran satu pingat emas di Johor itu nanti.

Selain itu satu pingat emas itu, bekas perejam elit negara itu optimis Terengganu berupaya mencuri tambahan satu lagi kilauan emas sekaligus membaiki pencapaian 2018.

"20 pemain ketika ini sudah dalam senarai dan hanya 15 yang akan dibawa ke Johor menerusi acara double, berpasukan dan regu.

"Sekembalinya mereka ke gelanggang latihan nanti, kami akan menilai semula prestasi yang ketika ini kurang memuaskan kerana hanya dapat memantau latihan dari rumah.

"Begitupun pihak persatuan kekal dengan sasaran satu pingat emas serta bonus satu lagi pingat sama warna," jelas Futra.

Untuk rekod negeri Pantai Timur itu adalah pemegang pingat emas acara berpasukan lelaki di Sarawak (2016) dan di Perak (2018).