Persatuan Skuash Sabah (SSA) mensasarkan sekurang-kurangnya meraih satu pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang akan berlangsung di Johor, tahun depan.

Presidennya, Charles O Pang, berkata, seramai 13 atlet mereka telah disenarai pendek untuk bersaing di temasya itu namun senarai akhir iaitu enam lelaki dan enam wanita hanya akan diketahui bila tiba masanya nanti.

"Sebagai presiden SSA, saya telah menetapkan sasaran untuk sekurang-kurangnya meraih satu pingat emas daripada lima acara yang ditandingi di Sukma nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Charles berkata, seperti sukan lain, program latihan atlet skuash Sabah juga juga turut terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

"Lima daripada 13 pemain yang disenarai pendek adalah berpusat di Bukit Jalil namun kesemua mereka sekarang berada di Sabah.

"Mereka sepatutnya menyertai 'team building' yang dianjurkan MSN pada 16 hingga 22 Mac lalu namun ianya telah ditangguhkan berikutan PKP.

"Buat masa ini, kesemua pemain bersama dengan keluarga mereka, bagaimanapun, mereka tetap diwajibkan menjalani latihan kekuatan, ketahanan dan ketangkasan di rumah masing-masing demi mengekalkan tahap kecergasan.

"Program latihan disediakan oleh para jurulatih dan laporan bulanan latihan mereka termasuk video dan gambar latihan perlu dihantar kepada MSN," katanya.

Sementara itu, 13 pemain yang kini berada dalam senarai pendek berkenaan ialah Duncan Lee, Kayden Liaw, Nicholas Tan, Adam Amarie Goh, Muhd Akid Izz B Zulkifli, Tristan Andreas, Yee Zheng Hong, Lai Wen Li , Jessica Keng, Yee Xin Ying, Etain Tay, Doyce Lee, dan Rachel Richard Gabil.