Kelonggaran perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) digunakan sepenuhnya skuad berbasikal Terengganu untuk kembali berkayuh di jalan sekitar negeri itu.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, berkata atlet sukan itu diberi kebenaran dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurut Ibni mereka tetap mematuhi peraturan pihak berkuasa, antaranya tidak membenarkan lebih 10 pelumba berkayuh selain kelengkapan latihan juga disanitasi.

"Jurulatih turut membahagikan kumpulan, contohnya satu kumpulan menuju ke arah Dungun, satu lagi ke Kuala Berang supaya mereka tidak bertembung.

"Untuk sukan lain, kami masih menunggu SOP lebih terperinci daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN)," ujarnya.

Sementara itu, jurulatih skuad berbasikal Terengganu, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan, menyambut baik kebenaran yang diberikan itu selain gembira barisan pelumbanya dapat kembali ke jalan raya.

Selain dapat menumpukan aspek teknikal serta taktikal, Husaini berkata tempoh dua bulan 'terperam' di rumah merupakan cabaran untuk mengekalkan tahap fizikal pelumbanya.

Justeru prestasi pelumba Terengganu jelasnya akan kembali dinilai dan berada pada tahap terbaik menjelang Sukan Malaysia (Sukma) di Johor, tahun depan.

"Kami berlatih bermula 6.30 pagi selama dua atau tiga jam sehari.

"Sebelum ini, tahap latihan mereka di rumah hanya pada tahap yang rendah iaitu sekitar 75 peratus saja.

"Jadi, kebenaran untuk kembali turun berlatih ini akan dimanfaatkan untuk mengembalikan prestasi sebenar sambil mengikut SOP kerajaan," katanya.