Persatuan Tinju Sabah (SBA) kemungkinan besar tidak akan mengubah senarai peninju mereka yang akan membawa cabaran Sabah dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan.

Setiausahanya, Darshan Singh, berkata beberapa pindaan yang dibuat termasuk membolehkan atlet yang telah didaftarkan untuk terus bersaing walaupun akan melebih had umur, tahun depan, juga melegakan persatuan itu.

"Sebelum ini, ketua jurulatih, Fabian Tonny Peter risau kerana atlet kami iaitu Haikal Hassim untuk kategori 49kg, Azrullah Sulaiman (64kg), dan Muhd Izzat Akmal Kamal (81kg) tidak akan dapat beraksi kerana kesemua mereka berusia 21 tahun, tahun ini.

"Bagaimanapun pindaan peraturan yang dibuat Kementerian Belia dan Sukan membolehkan mereka beraksi walaupun temasya dwi tahunan itu hanya akan dilangsungkan pada tahun depan," katanya.

Darshan berkata, buat masa ini, tiada perubahan senarai atlet akan dibuat namun keputusan muktamad hanya akan dibuat pada 30 Jun depan di mana kami boleh membuat perubahan senarai atlet namun jika berlaku kes kecederaan.

Semantara itu, beliau berkata, kesemua peninju Sabah ketika ini menjalani latihan masing-masing dari rumah mereka dan sesi latihan sebenar hanya akan dijalankan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Antara peninju lain yang akan turut membawa cabaran Sabah di Sukma nanti ialah Joel Evekly Jain (52kg), Rosshazmie Roslan (60kg), Fabio Peter Fabian (56kg), Maxsinery Motinin (69kg) dan Mohd Syawal Azmee (75kg).