Kerajaan Negeri Perak dan persatuan angkat berat seluruh malaysia merayu supaya 10 acara lelaki dan 10 acara wanita diadakan semula dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How, berkata rayuan itu dibuat berikutan tindakan Jawatankuasa Teknikal Khas SUKMA memutuskan untuk mengadakan empat acara lelaki dan wanita sahaja.

Pengerusi jawatankuasa khas teknikal dan Sekretariat SUKMA Johor membuat keputusan itu di Hotel Impiana, Senai, 17 November lalu.

"Keputusan itu jelas bertentangan dengan perkara 9.1 peraturan antarabangsa Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) dan perkara 9.4 peraturan am SUKMA.

"Johor wajib mengikut peraturan badan dunia dan peraturan itu," katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK) hari ini.

Chuan How berkata langkah mengurangkan acara itu juga bertentangan dengan tujuan dan objektif penganjuran SUKMA.

"Pengurangan acara itu bererti 12 atlet dari setiap negeri dinafikan hak bertanding.

"Bayangkan perasaan mereka.

"Mereka sudah lama bersusah-payah membuat persiapan, tiba-tiba tidak boleh mengambil bahagian.

"Jadi, kami merayu agar penganjur adakan kembali 10 acara," katanya.