Sukma Johor ditunda ke April 2021

Oleh Muzaffar Musa 19 September 2020 139
Sukma Johor ditunda ke April 2021
Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 dalam satu kenyataan media mengumumkan bahawa temasya berkenaan akan dilangsungkan pada April 2021 manakala Para Sukma pula akan diadakan sebulan lebih awal.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, di Iskandar Puteri hari ini.

“Setelah meneliti apa yang dibentangkan oleh pihak Sekretariat SUKMA XX Johor 2020, jawatankuasa sebulat suara bersetuju bahawa Para SUKMA akan dikelolakan terlebih dahulu, iaitu pada 8 hingga 13 Mac 2021 dan kemudiannya SUKMA XX Johor 2020 akan dikelolakan pada 2 hingga 10 April 2021," kata Reezal Merican dalam kenyataan berkenaan.

"Ini adalah kerana mengambil perkiraan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang akan berlangsung pada 1 hingga 9 Mac dengan 171 atlet akan terlibat dalam peperiksaan berkenaan.

"Saya dan juga ahli jawatankuasa tertinggi akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam soalan penentuan tarikh penganjuran ini secara muktamad pada Disember depan," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen