Sukan SEA Vietnam: Skuad boling padang akan hantar barisan pelapis

Oleh Bernama 22 Julai 2020 28
Sukan SEA Vietnam: Skuad boling padang akan hantar barisan pelapis
Skuad boling padang negara dijangka menggunakan khidmat pemain pelapis sekiranya sukan itu dipertandingkan dalam Sukan SEA Vietnam tahun depan.

Ketua jurulatih, Zuraidi Puteh, berkata skuad pelapis berkenaan akan dibentuk daripada peserta-peserta Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan.

Jelasnya, pihaknya masih menunggu keputusan daripada Vietnam berhubung penyenaraian sukan berkenaan sebelum membentuk skuad pelapis.

"Kami mahu skuad elit sedia ada memberi tumpuan kepada beberapa kejohanan utama, termasuk  Kejohanan Dunia (World Bowls) di Australia dan Kejohanan Asia di China, yang akan dijadikan sebagai medan pemilihan ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England, yang menjadi sasaran utama kita ketika ini.

"Skuad elit kebangsaan dibarisi 20 pemain, iaitu masing-masing 10 pemain yang sedang dipersiapkan bagi menghadapi Kejohanan Dunia serta Asia tahun depan,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mengesahkan lapan persatuan sukan iaitu sambo, kriket, pelayaran, bola jaring, boling padang, hoki dalam dewan, skuasy dan  ragbi 7's telah menghantar permohonan rayuan penyertaan ke Sukan SEA. 

Kali terakhir sukan boling padang tidak dipertandingkan adalah dalam edisi 2015 di Singapura. 

Pencapaian terbaik Malaysia adalah juara keseluruhan acara itu dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan meraih tujuh pingat emas dan satu perak.

Vietnam dilaporkan bercadang menganjurkan 36 jenis sukan melibatkan 450 acara dalam Sukan SEA 2021.

Tentang Penulis

Bernama

Komen