Sebanyak 11 sukan mengemukakan rayuan kepada penganjur Sukan SEA ke-31, Vietnam, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Peraturan Persekutuan Sukan SEA (SGF) secara maya hari ini.

Rayuan berkenaan termasuk acara ‘lubuk emas’ Malaysia, iaitu hoki dalam dewan, bola jaring, pelayaran, boling tenpin, skuasy, boling padang, kriket, ragbi, e-sukan, papan selaju dan sambo.

Cadangan daripada Jawatankuasa Sukan dan Peraturan SGF berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis SGF juga secara maya esok.

Dalam mesyuarat membabitkan 11 negara itu, yang dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Pentadbiran Sukan Vietnam, Tran Duc Phan, Malaysia diwakili oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, dan ahli kehormat SGF, Datuk Sieh Kok Chi.

Menurut kenyataan MOM, Vietnam menyampaikan taklimat terperinci mengenai 36 sukan yang dicadangkan untuk dipertandingkan dalam edisi 2021 berserta venue pertandingan, membabitkan beberapa venue di luar Hanoi dengan jarak paling jauh adalah 150 kilometer daripada bandar berkenaan.

"Harus diingat bahawa pemilihan jumlah sukan dipertandingan dalam temasya itu terletak kepada tuan rumah.

"Pada 2015 di Singapura, sebanyak 34 sukan dipertandingkan dengan 402 pingat emas ditawarkan, manakala pada 2017 di Kuala Lumpur, sebanyak 38 sukan dipertandingkan dengan 404 pingat emas ditawarkan. Di Manila (2019), 56 sukan dipertandingkan dengan 530 pingat emas ditawarkan,” kata kenyataan itu.

Seperti dalam edisi 2015 dan 2017, kontinjen negara yang bertanding akan ditempatkan di hotel penginapan kerana tiada perkampungan sukan.

Berdasarkan senarai awal, sukan yang akan dipertandingkan di Vietnam adalah olahraga, akuatik (renang dan terjun), memanah, badminton, bola keranjang, tinju, kanu, berbasikal (lebuh raya dan basikal bukit), sukan tari, lawan pedang, bola sepak, golf, gimnastik, bola baling, bola tampar, judo, karate, mendayung, menembak, ping pong, taekwondo, tenis, angkat berat dan gusti.

Turut tersenarai ialah snuker dan billiard, catur/xiangqi (catur China), futsal, Muay, pencak silat, petanque, sepak takraw, renang sirip, bina badan, wushu, kurash, kick boxing dan vovinam (seni pertahan diri Vietnam).

-- BERNAMA