Mohammed Fauzan Ahmad Lutfi terpaksa menangguhkan impian untuk membuat penampilan semula bersama skuad Malaysia ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila belum menerima surat tawaran rasmi daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Fauzan menangguhkan persaraan demi membantu skuad negara menghadapi temasya dwi-tahunan itu yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Jurulatih negara, Syed Hussain Syed Mazlan, juga berminat untuk mendapatkan khidmatnya, namun perancangan itu terpaksa ditangguhkan kerana PKBM belum membuat tawaran rasmi.

Justeru, pakar ujian masa itu hanya turun berlatih dengan skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekalkan prestasi.

"Saya sedang menunggu surat rasmi daripada MSN untuk kembali ke skuad kebangsaan.

"Mereka baru sahaja bermesyuarat pada hujung Mac lalu, Insya-Allah dalam masa terdekat ini, saya akan menerima panggilan," katanya.

Sebanyak lima pingat emas ditawarkan dalam acara lebuh raya.

Skuad negara cemerlang di Singapura dalam edisi dua tahun lalu apabila meraih dua emas menerusi Mohd Harrif Salleh dalam acara lebuh raya dan kriterium.

Sukan berbasikal dijangka menjadi lubuk emas kontinjen negara dalam Sukan SEA tahun ini, terutama dalam acara trek dan lebuh raya.