Sukan SEA: Ezuan sedia rebut tiket ke Hanoi 

Oleh Shaiful Shamsudin 7 April 2020 53
Sukan SEA: Ezuan sedia rebut tiket ke Hanoi 
Semangat atlet menembak negara, Ezuan Nasir Khan, masih membara untuk memburu penampilan keenam dalam Sukan SEA Vietnam 2021.

Keazaman itu tanpa mengambil kira kesukarannya yang kini berlatih tanpa senjata yang disimpan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Oleh kerana pemenang pingat emas menerusi 50 meter air rifle prone dalam edisi di Kuala Lumpur tiga tahun lalu itu tidak lagi berada dalam Program Podium, Ezuan kembali melaporkan diri bersama majikannya, Unit Protela Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Penembak berusia 31 tahun itu tidak berputus asa kerana dikhabarkan sejurus tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) akan mengadakan satu proses pemilihan, justeru Ezuan mahu kembali merebut tempatnya dalam skuad kebangsaan.

"Kalau tidak ada surat daripada Majlis Sukan Negara (MSN) selepas PKP ini, saya terpaksa tumpang senjata TLDM di sini.

"Senjata di sini berbeza memandangkan saya sudah melaraskan dan menggunakan senjata di MSN itu mengikut keserasian sendiri," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.

Dia berdepan cabaran untuk meneruskan penglibatannya sejak edisi 2011 apabila terpaksa menggunakan senjata lain di Lumut dan bukannya senjata yang sudah sekian lama digunakannya sejak bersama skuad kebangsaan.

"Saya amat mengharapkan untuk beraksi di Vietnam sebab mereka akan mempertandingkan semua acara.

"Rugilah kalau tidak pergi dan NSAM tidak menghantar wakil.

"Misalnya dalam temasya Kuala Lumpur 2017, banyak acara dipertandingkan untuk menjadi sasaran atlet negara untuk berpeluang meraih banyak emas."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen