Susulan kegagalan dalam Sukan SEA Filipina 2019, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi bayangan awal untuk mengambil langkah drastik tidak lagi mendapatkan pelumba daripada kelab tempatan untuk Sukan SEA 2021.

Mesyuarat Penilaian Sukan SEA Filipina mendedahkan kepincangan skuad berbasikal negara apabila gagal mencapai sasaran satu pingat emas yang ditetapkan, khususnya bagi acara ujian masa.

Biarpun dibarisi pelumba campuran daripada pasukan kebangsaan serta kelab profesional seperti Sapura Cycling Team (TSC) dan Terengganu Cycling Team (TSG), ia tidak menjamin sebarang kejayaan tatkala Malaysia pulang hampa dengan tangan kosong.

Justeru, untuk Sukan SEA 2021 di Vietnam, PKBM berhasrat untuk tidak lagi menggunakan barisan pelumba daripada kelab tempatan, sebaliknya kekal dengan nama yang bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).

Saranan itu dibuat bagi membolehkan mereka merancang latihan dan membentuk keserasian lebih lama berbanding menanti pelumba daripada kelab tempatan yang turut terikat dengan kalendar antarabangsa.

"Kalau suruh datang awal, mereka tidak dapat bersama kami kerana sudah memiliki program sendiri sebelum Sukan SEA. Apa yang pasti, kami tidak akan ambil mana-mana pelumba daripada pasukan tempatan," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab.

Bagaimanapun, cadangan itu tertakluk kepada acara ujian masa sahaja sambil bagi acara individu lebuh raya, PKBM masih terbuka untuk mendapatkan khidmat pelumba Sapura dan TSG.

"Kami hanya putuskan situasi itu untuk skuad ujian masa tetapi kelonggaran diberikan buat saingan individu lebuh raya. Untuk ujian masa, kami hanya mahukan pelumba kebangsaan."



Editor: Nafis Abdullah