Sukan SEA 2019: Pengalaman jadi kriteria pemilihan CDM negara 

Oleh Penulis Jemputan 16 November 2018 143
Sukan SEA 2019: Pengalaman jadi kriteria pemilihan CDM negara 
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengutamakan pengalaman sebagai antara panduan dalam menentukan calon sesuai untuk menjadi ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2019 di Filipina.

Isnin lalu, jawatankuasa pemilihan ketua kontinjen yang dipengerusikan oleh Naib Presiden MOM, Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim, telah menyenaraikan lima calon untuk tugas sebagai chef-de-mission (CDM) negara. 

Calon yang terpilih akan diumum selepas mendapat kelulusan ahli majlis MOM yang akan bermesyuarat esok. 

Tiada nama yang diberikan oleh Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, namun beliau memberi bayangan pengalaman menjadi antara faktor utama.

Daripada lima calon berkenaan, dua daripadanya merupakan wanita dan dalam temasya Kuala Lumpur 2017, tanggungjawab itu diberikan kepada bekas atlet olahraga, Datuk Marina Chin.

"Kebiasaannya, sebagai permulaan, bekas atlet akan diberi peranan dalam Sukan Olimpik Remaja. 

"Tetapi, untuk Sukan SEA, kami akan memberikan tanggungjawab sebagai ketua kontinjen kepada orang yang lebih berpengalaman. 

"Calon-calonnya terdiri dalam kalangan ahli persatuan sukan dan bekas pihak pengurusan MOM," katanya. 

Turut menjadi perhatian dalam mesyuarat exco itu nanti adalah sesi penerangan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai peruntukan sebenar serta program latihan yang bakal distruktur semula tahun depan. 

"MOM, MSN dan persatuan sukan akan berbincang lagi dengan lebih terperinci mengenai struktur semula selain isu-isu semasa selepas penstrukturan program sukan dilakukan. 

"MOM mahu membantu MSN dalam mengubah penstrukturan program sukan pada tahun depan," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen