Skuad renang berirama negara yang akan memulakan saingan lebih awal dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mahu membangkitkan semangat seluruh negara dengan pingat emas menjelang upacara perasmian temasya itu.

Jika segalanya berjalan lancar, Malaysia berupaya memperoleh tiga pingat emas daripada renang berirama sebelum upacara perasmian pada 20 Ogos.

Skuad negara terus memandang kepada atlet paling senior, Zylane Lee dan Gan Hua Wei, yang dijangka berupaya meraih emas menerusi acara solo dan duet bebas serta teknikal.

Persaraan atlet tunjang senior seperti Tasha Jane Ali Taher dan Katrina Ann Abdul Hadi sebelum ini sedikit menjejaskan kekuatan skuad negara untuk bersaing dalam acara berpasukan.

Atas dasar itu, skuad negara berasakan emas berpasukan ibarat bonus dengan Singapura muncul sebagai pencabar terdekat.

"Kami tidak menyasarkan untuk menyapu bersih kesemua pingat emas Sukan SEA.

"Untuk acara berpasukan, kami akan terus berusaha dalam beberapa bulan ini untuk meningkatkan prestasi.

"Kami perlu melipatkangandakan usaha untuk meraih pingat emas," kata penolong ketua jurulatih negara, Shareen Png.

Lapan bulan menjelang Sukan SEA memaksa skuad negara berusaha mengenal pasti penyertaan dalam kejohanan kompetitif bagi musim 2017.

2016 menyaksikan penampilan terhad buat atlet renang berirama negara, antaranya di Terbuka China dan Kejohanan Asia di Tokyo.

"Separuh daripada pasukan renang berirama untuk Sukan SEA 2017 merupakan atlet dari edisi Sukan SEA yang lepas manakala separuh lagi adalah muka baru.

"Kami akan memberikan mereka pendedahan untuk meraih pengalaman menerusi penyertaan dalam beberapa kejohanan.

"Untuk acara berpasukan agak kurang, jadi saya berharap lebih banyak kejohanan akan diadakan."