Seramai 12 atlet para negara menggalas cabaran dalam Sukan Para Remaja Asia di Dubai bermula Isnin hingga 14 Disember ini bagi memburu sasaran lima emas dan merebut tempat dalam Sukan Para Asia di Jakarta dari 8 hingga 16 Oktober tahun depan.

Malaysia tidak menghantar pasukan yang besar, namun atlet negara yang bertanding diingatkan ia bukan sekadar saingan pelengkap jadual, sebaliknya prestasi mereka akan dinilai bagi pemilihan ke Sukan Para Asia nanti.

Sasaran lima emas itu membabitkan sukan olahraga, powerlifting dan badminton.

"Kejohanan tersebut adalah untuk memberi pendedahan baru kepada atlet-atlet muda. Ia juga sebagai peluang untuk bertanding di peringkat Asia.

"Kami turut akan menilai kemampuan mereka bagi pemilihan ke Sukan Para Asia tahun depan," kata Chef-de-Mission kontinjen negara ke Sukan Para Remaja Asia, Siti Zaharah Abdul Khalid.

Nama-nama seperti Felicia Mikat, S. Thavanesvaran dan Kim Carmen adalah antara atlet yang dijangka menyerlah selepas mempamerkan aksi memuaskan dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, September lalu.

"Kami hanya mengambil bahagian dalam 20 acara daripada 10 sukan yang dipertandingkan. Maka, kalau kita mahu menyasarkan tempat keempat keseluruhan, ia amat sukar," ujarnya.

Keseluruhan atlet bertanding akan berkumpul di Kompleks Sukan Kampung Pandan terlebih dahulu sebelum berlepas ke Dubai pada 8 Disember ini.