Pemain paling berpengalaman skuad bola sepak cerebral palsy negara, Sobri Ghazali, mahu memastikan Malaysia mengakhiri kemarau pingat emas dalam Sukan Para ASEAN Filipina 2020 sebelum menamatkan kariernya.

Sobri sudah bersama skuad negara sejak acara bola sepak dipertandingkan dalam edisi di Naypyitaw, Myanmar pada 2014.

Kapten berusia 38 tahun itu pulang hampa dalam tiga edisi yang disertainya dengan pencapaian terbaik adalah meraih pingat gangsa dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Justeru, ia merupakan kesempatan terbaik untuk dia membawa pulang pingat emas sebagai hadiah terbaiknya sebelum menamatkan perkhidmatan selama enam tahun bersama skuad kebangsaan.

"Insya-Allah, saya akan mencuba untuk mencapai sasaran mendapatkan pingat emas.

"Ia mungkin peluang terakhir buat saya yang sudah berusia 38 tahun," katanya.

Jurulatih negara, Asnan Zuki, tidak bercadang untuk membuat perubahan drastik dalam senarai pemainnya setelah tuan rumah, Filipina, berkemungkinan besar menunda temasya itu ke Mac depan.

Dia menaruh keyakinan terhadap 14 pemain yang dipilihnya sejak Oktober lalu bagi menamatkan kemarau pingat emas dalam temasya berkenaan.

"Buat sementara ini, kami kekalkan (barisan pemain).

"Kerana mereka setakat ini cukup cergas untuk bermain.

"Cuma kalau ada kecederaan, kami akan fikirkan semula.

"Pemain-pemain yang ada ini juga berkebolehan untuk mengejar sasaran pingat emas," katanya.


Editor: Muzaffar Musa