Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, kecewa apabila masih belum ada sebarang kata putus mengenai penundaan Sukan Para ASEAN Filipina 2020, yang sepatutnya bermula bulan depan.

Sikap lepas tangan pihak tuan rumah menyaksikan Malaysia terpaksa menanggung kerugian yang mungkin mencecah jutaan ringgit bagi proses penyediaan atlet.

Beliau menegaskan langkah memboikot temasya itu merupakan pilihan terakhir memandangkan rata-rata kontinjen bertanding sedang berada dalam fasa persediaan.

Meskipun surat protes telah dihantar, tiada sebarang tindak balas segera daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Filipina (PHILAPGOC).

Dengan itu, Megat D Shahriman akan berlepas ke Bangkok 6 Januari ini bagi menghadiri perbincangan mengenai keputusan dan tindakan yang akan diambil ke atas penundaan itu.

"Kali terakhir Filipina memberi respons ialah pada Isnin lalu.

"Selepas itu tiada.

"Kami terus menghantar mesej dan e-mel tetapi masih tiada kata putus.

"Cuma, APSF (Persekutuan Sukan Para Asean) mengesahkannya (pertemuan di Bangkok) semalam dan saya rasa ia langkah yang sewajarnya kerana setiap negara perlu mendapatkan kata putus," katanya.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman turut mendedahkan bahawa dia akan melepaskan satu daripada tiga jawatan yang disandangnya ketika ini dan satu pengumuman akan dilakukan selepas beliau pulang dari Bangkok.

"Saya bukan individu yang membuat pusingan U.

"Apa yang saya cakap, saya akan buat dan apa yang saya cakap, saya akan bertanggungjawab.

"Saya akan lepaskan salah satu daripada jawatan itu tetapi disebabkan Sukan Para ASEAN ditangguhkan, saya akan mengumumkannya lebih awal," tambahnya.


Editor: Muzaffar Musa