Sukan Malaysia boleh lumpuh -- Norza

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Oktober 2020 223
Sukan Malaysia boleh lumpuh -- Norza
Sukan Malaysia akan terjejas teruk sekiranya negara terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPP) yang ketat bagi membendung wabak COVID-19.

Senario itu ditegaskan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, memandangkan kesannya bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah membabitkan seluruh industri sektor terbabit.

Sukan di Malaysia tidak boleh mengharungi satu tempoh berpanjangan di bawah sifar aktiviti. Ia pada waktu sukan negara berada dalam fasa pemulihan dengan bola sepak misalnya kembali dipertandingkan di pentas kompetitif.

Malah, atlet daripada pelbagai jenis sukan juga sedang menjalani latihan bagi menghadapi temasya penting seperti Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

"Kalau PKPP dilakukan kami tidak mahu perkara ini berlaku kerana tentu sahaja industri akan lumpuh dan kita akan ambil masa yang lebih lama lagi untuk pulih," katanya ketika ditemui wakil Astro Arena, Shahrazad Sani, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini. 

Norza juga menegaskan, pengusaha sukan di luar program kebangsaan akan mengalami kesulitan paling besar sekiranya sukan diarah supaya menghentikan aktiviti dengan serta-merta.

"Sekarang pun sudah kritikal dan tenat daripada segi pengusaha-pengusaha sukan. 

"Kami berharap PKPP tidak berlaku namun kendalian diri amat penting untuk menentukan usaha yang kita dilakukan ini mula menunjukkan kejayaan selain bersama-sama membantu kerajaan mengurangkan kes COVID-19 ini," tambahnya. 

Sejak peningkatan angka kes wabak COVID-19, Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) telah mempunyai beberapa perbincangan dalam usaha memastikan keselamatan barisan atlet.

Bagaimanapun, sebarang keputusan akan dilakukan selari dengan perintah kerajaan.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen