Penyertaan skuad ragbi tujuh sepasukan (7's) negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 disambut baik pengendalinya, Saizul Hafifi Md Noor, sambil berpandangan itu medan terbaik untuk menguji kemampuan mereka menentang pasukan handalan dunia.

Selepas cemerlang meraih emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, skuad ragbi 7's negara mendapat kepercayaan untuk beraksi dalam Sukan Komanwel pula.

Malah, ia juga boleh dianggap sebagai medan untuk menerima pendedahan dengan acara itu berkemungkinan akan disenaraikan dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Bagi Saizul, penyertaan di Gold Coast nanti amat penting buat pasukannya kerana peluang untuk berdepan pasukan seperti New Zealand, Australia, Fiji dan Afrika Selatan yang sukar untuk diraih skuad negara.

"Kalau nak menyertai (Sukan Komanwel) untuk menang, memang tidak boleh kerana kehadiran pasukan besar tetapi sebagai pendedahan sangat bagus.

"Kalau kami cuba mengatur perlawanan persahabatan dengan mereka, kami tidak akan dilayan.

"Pendedahan itu nanti akan membolehkan kami mengenal pasti kelemahan yang ada untuk menjadi pasukan yang lebih baik pada masa hadapan," katanya.

Skuad ragbi 7's negara kini dalam persiapan untuk menghadapi siri ketiga Kejohanan Asia di Sri Lanka, minggu depan.

Misi utama mereka adalah untuk memastikan Malaysia mampu mengekalkan ranking keseluruhan yang diraih tahun lalu, iaitu tangga keenam daripada lapan pasukan.

Selepas dua siri di Hong Kong dan Korea Selatan, skuad negara menduduki tangga ketujuh dengan mengumpul enam mata.

"Persiapan masih berjalan seperti biasa. Kami cuba mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk menghadapi kejohanan di Sri Lanka nanti kerana kami memburu ranking yang lebih baik.

"Saya berharap prestasi kami di Sri Lanka nanti akan mengatasi pencapaian di Korea Selatan dan Hong Kong sebelum ini," katanya.