Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, masih menanti perancangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai hala tujunya untuk tahun depan dengan Sukan Komanwel Gold Coast menjadi keutamaan.

Jackie merupakan sebahagian daripada 15 atlet yang telah pun disenaraikan oleh KOM dalam program senior MSN pada tahun depan.

Cuma yang masih menjadi tanda tanya, dia masih belum dimaklumkan jadual serta perancangan oleh MSN dan KOM mengenai kejohanan yang bakal disertai dan kelayakan yang perlu dilepasinya untuk beraksi di Gold Coast.

Tidak menghiraukan faktor itu, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 dan pemegang rekod kebangsaan dengan balingan sejauh 65.90 meter itu tetap gigih meneruskan latihan di bawah bimbingan Gu Yuan.

"Saya telah terpilih dalam senarai Sukan Komanwel, latihan saya ketika ini baru memasuki fasa awal intensif kerana persiapan berbaki empat bulan," katanya.

Jackie pernah beraksi dalam Sukan Komanwel Glasgow 2014, namun hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-18 daripada 20 peserta.

Jurulatihnya kini cuba untuk mengekalkan prestasi Jackie dan berharap anak buahnya itu mampu melakar balingan yang lebih baik lagi pada tahun depan.

"Saya harap dalam Sukan Komanwel nanti, dia mampu melakukan 66.0m atau 67.0m dan jika berjaya, dia mungkin boleh menduduki tangga kelima," ujarnya.