Sukan Asia 2018: Kesesakan lalu lintas jadi perhatian

Oleh Penulis Jemputan 29 November 2017 162
Sukan Asia 2018: Kesesakan lalu lintas jadi perhatian
Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC), Erick Thohir, mengakui pihaknya sedang mengkaji cara Malaysia menganjurkan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, terutama bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas.

Katanya, Indonesia telah menghantar puluhan pemerhati ketika temasya dwi-tahunan itu berlangsung pada Ogos lalu.

Jelas Erick, pihaknya mencari jalan untuk memperbaiki aspek pengangkutan walaupun hasrat melancarkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di sekitar Kompleks Sukan Gelora Bung Karno sebelum temasya itu tidak kesampaian.

"Apa yang menarik untuk dipelajari dari Kuala Lumpur, bagaimana untuk menguruskan pengangkutan. Sudah tentu (Sukan Asia) lebih besar daripada Sukan SEA tetapi saya rasa ia adalah sesuatu yang kami cuba pelajari. 

"Ia kerana seperti yang saya sebut sebelum ini, ia melibatkan lalu lintas. Saya fikir Palembang sepatutnya tidak ada isu tetapi Jakarta ada masalah," katanya.

Sembilan bulan sebelum temasya sukan terbesar Asia itu bermula, beberapa aspek perlu diberi penekanan.

Beberapa venue di Palembang seperti boling tenpin dan menembak masih dalam proses pembinaan.

Boling khususnya baru memasuki fasa awal, sekali gus meningkatkan tekanan buat INASGOC.

Namun, mujur semua kejohanan ujian membabitkan 10 jenis sukan hanya diadakan di Jakarta pada Februari tahun depan tetapi ia bukan jaminan untuk Palembang bersenang-lenang.

"Kami mempunyai kejohanan ujian pada Februari. Kejohanan itu penting untuk kami menilainya. Kami harus memastikan kemudahan kami menepati perkhidmatannya. 

"Lalu lintas di Jakarta sangat sesak. Semua ini (masalah) kami harus kurangkan demi kejayaan penganjuran Sukan Asia," tambahnya.

Kejohanan ujian Sukan Asia 2018

1. Memanah
2. Olahraga
3. Badminton
4. Bola Keranjang (5x5)
5. Tinju
6. Bola Sepak
7. Pencak Silat
8. Taekwondo
9. Bola Tampar
10. Angkat Berat

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen