Selepas menang straight set 2-0 ke atas Perak Bison, Kelantan Warriors melaungkan amaran mahu mengejutkan juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2017 di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, malam ini.

Biarpun sedar lawan yang dihadapi menjadi pasukan pilihan untuk muncul juara STL sekali lagi, tekong utama, Mohd Hisyam Mat, yakin gandingannya bersama Wan Naim Izani Wan Mohd Noor (apit kanan) dan Aidil Aiman Zawawi mampu mencipta kejutan untuk terus mendaki carta liga.

“Selepas menang ke atas Perak Bison, kami mengalihkan tumpuan untuk menjerat pasukan pilihan, Penang Black Panthers, pula.

“Biarpun sedar mereka (Penang Black Panthers) dianggap pilihan dan masih kekal di persada liga, Kelantan Warriors menjanjikan satu perlawanan yang sengit,” katanya.

Hisyam, yang dipilih sebagai pemain terbaik STL minggu lepas, tetap menganggap kekuatan utama regu Pulau Mutiara itu terletak kepada kekuatan servis tekong kebangsaan, Syahir Rosdi.

“Jika kami mampu menangani servis kuda Syahir dengan berkesan, kejutan pasti berlaku,” katanya.

Malam ini, Kelantan Warriors turun untuk mencari kemenangan keenam untuk terus muncul sebagai pencabar terkuat sambil menghadiahkan kekalahan kedua buat Penang Black Panthers. Untuk rekod, dalam pusingan pertama, Kelantan Warriors kalah 1-2.