Atlet pecut para negara, Ahmad Solihim Mohd Noor, akur dengan kombinasi klasifikasinya dalam Sukan Para Komanwel 2018 yang secara jelas bukan kelebihan untuk penampilan sulungnya di Gold Coast.

Solihim berada dalam klasifikasi T46 yang membawa maksud kudung sebelah tangan sepenuhnya.

Namun, penyertaannya dalam temasya itu gagal memberi kelebihan di atas kertas apabila terpaksa bersaing dengan atlet yang kudung sehingga siku selepas acara mereka digabungkan.

Jelas Solihim, situasi itu bakal memberi kesukaran kepadanya kerana kelebihan lebih terarah kepada peserta yang memiliki hayunan kedua belah tangan, berbeza dengannya yang hanya bergantung dengan
sebelah tangan.

"Dalam peringkat antarabangsa, IPC (Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa) memang menggabungkan kategori T46 dan T47, jadi tiada pilihan lain untuk saya bertanding dalam T47," katanya.

Tambah Solihim, dia masih meletakkan sasaran untuk memastikan sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir walaupun hakikatnya cabaran yang bakal dihadapi jelas bukan memihak kepadanya.

"Untuk Sukan Komanwel 2018, saya menyasarkan catatan peribadi terbaik. Ia juga bagi mendapatkan keyakinan bagi menghadapi Sukan Para Asia 2018," katanya lagi.