Solihim tekad raih kejayaan lebih besar 

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2017 83
Solihim tekad raih kejayaan lebih besar 
Masa untuk bersenang-lenang sudah berakhir buat atlet pecut para negara, Ahmad Solihim Mohd Nor, dan kini fokusnya tertumpu dalam mempersiapkan diri ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, dari 4 hingga 15 April tahun depan.   

Solihim menganggap rezeki memihak kepadanya kali ini apabila menerima berita gembira layak ke Sukan Komanwel sewaktu masih lagi menikmati kejayaan meraih pingat emas dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur bagi acara 100 meter T46. 

Sudah pasti, ia bukan lagi masa untuknya beristirahat, sebaliknya harus menggandakan usaha memperbaiki teknik larian dan memastikan tahap kecergasannya sentiasa konsisten. 

Yang penting, peluang keemasan itu enggan disia-siakan Solihim untuk berusaha meraih sesuatu buat negara. 

"Selepas Sukan Para ASEAN, saya fokus untuk membina kecergasan dan kekuatan secara perlahan-lahan. Tidak perlu untuk saya berlatih terlalu keras memandangkan sedang cuti lama (daripada sebarang kejohanan).

"Mungkin bulan depan, latihan saya akan mula ditingkatkan ke tahap intensiti yang lebih tinggi," ujarnya menjelang temasya Sukan Komanwel 2018 yang akan berjalan serentak dengan acara atlet para. 

Setakat ini, dia hanya menunggu kata putus daripada jurulatih, R. Jeganathan, untuk menyertai mana-mana kejohanan sebelum temasya bermula. 

Sebarang kejohanan yang disertainya kini penting bukan sahaja untuk persiapan ke Sukan Komanwel, malah bagi kelayakan ke Sukan Asia di Jakarta, Ogos depan. 

"Saya mahu menyertai kedua-dua temasya itu dengan yakin," katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen