Pemain skuasy nombor satu negara, Low Wee Wern, yang kini menduduki ranking ke-24 dunia, menyasarkan untuk naik sehingga ke ranking ke-15 dunia tahun depan.

Sebelum ini, dia pernah menduduki ranking kelima dunia pada 2014 sebelum jatuh ke ranking di bawah 250 akibat tidak menyertai mana-mana kejohanan selama 22 bulan dari tahun 2016 hingga 2018 kerana mengalami siri kecederaan ligamen lutut (ACL).

Pemain berusia 29 tahun itu telah menjalani tiga pembedahan lutut dengan kali pertama pada 2015 dan diikuti dua lagi pembedahan pada 2016 dan 2017.

Namun, selepas mengatasi masalah tekanan secara mental dan juga fizikal, pemain dari Pulau Pinang itu melakukan sesuatu yang amat dinanti-nantikan ramai, iaitu kembali ke gelanggang dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan pada Julai tahun lalu.

Wee Wern cemerlang dan menduduki ranking ke-24 dunia dan nombor satu negara selepas ketiadaan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, yang bersara, dengan memenangi antaranya Terbuka Australia, Terbuka Q (Queensland) dan Terbuka Singapura sepanjang musim 2018-19.

Selepas tidak memenangi apa-apa gelaran dalam musim 2019/20 selain Terbuka Kebangsaan pada Julai tahun ini, Wee Wern kini menyasarkan untuk menduduki kedudukan terbaik 15 elit dunia sebelum musim ini berakhir pada Julai 2020.

"Saya berharap akan dapat menduduki ranking 15 terbaik.

"Saya perlu bermain lebih banyak kejohanan tahun depan.

"Untuk kembali selepas kecederaan bukanlah sesuatu yang mudah dan saya telah menjalani tiga pembedahan dalam karier saya.

"Ramai yang menyangka saya tidak akan bermain skuasy semula tetapi saya kini kembali ke gelanggang dan menduduki kedudukan ke-24 terbaik dunia.

"Tentunya dari semasa ke semasa akan ada kesilapan, jadi saya belajar bagaimana untuk menghadapinya dan mencuba untuk melakukan yang terbaik.

"Ya, ada masanya yang saya amat kecewa, saya masih ingat selepas pembedahan kedua, hampir dua tahun saya tidak boleh beraksi dan tidak boleh berjalan selama enam minggu.

"Untuk bermula semula dengan mengembalikan stamina daripada belajar untuk berjalan, joging dan kemudian kembali ke gelanggang sebenarnya adalah satu proses yang panjang dan akan ada masa yang mengecewakan.

"Mungkin saya tidak bermain skuasy tahap tinggi seperti yang patut saya bermain ketika saya boleh (sebelum ini), jadi saya cuba menikmati pemainan dan tidak mengambil mudah terhadapnya seperti sebelum ini," katanya.

Selepas memenangi dua pingat emas dalam acara berpasukan Sukan Asia 2010 dan 2014, sasaran utama Wee Wern ialah untuk memenangi pingat emas acara perseorangan Sukan Asia, memenangi pingat dalam Sukan Komanwel dan mencapai ranking kelima terbaik dunia sebelum bersara.

Wee Wern juga yakin pasukan wanita kebangsaan, yang terdiri daripada pemain nombor ke-32 dunia, S. Sivasangari, dan Rachel Arnold (43), kini lebih kuat dan seimbang untuk menghadapi dua acara utama berpasukan di Malaysia tahun depan, iaitu Kejohanan Berpasukan Asia dari 25-29 Mac depan dan Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) dari 12-20 Disember depan.

-- BERNAMA