Skuasy Kebangsaan: Wee Wern, Sivasangari tepati ramalan ke final

Oleh Muzaffar Musa 10 Oktober 2020 128
Skuasy Kebangsaan: Wee Wern, Sivasangari tepati ramalan ke final
Dua pemain pilihan utama, Low Wee Wern dan S. Sivasangari, menepati ramalan ke final Kejohanan Skuasy Kebangsaan selepas menewaskan lawan masing-masing dalam saingan separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Pemain pilihan kedua, Sivasangari, terpaksa mengerah keringat ketika bertemu seorang lagi pemain kebangsaan, Aifa Azman.

Biarpun mudah memenangi set pertama 11-4, Sivasangari kemudian berdepan ujian getir dalam empat set berikutnya sebelum mengesahkan kemenangan 11-3, 12-10, 8-11, 11-1

"Ia semestinya bukan laluan yang mudah, saya sedar Aifa adalah pemain yang benar-benar sedang meningkat naik.

"Saya juga belum benar-benar mengeluarkan prestasi terbaik saya.

"Saya hanya bermain baik dalam set pertama dan kelima, selebihnya saya penat secara mental mengenai beberapa keputusan.

"Saya fikir ia lebih kepada permainan minda dan saya tidak terlalu fokus di atas gelanggang dalam beberapa set," katanya.

Pilihan utama kejohanan, Wee Wern, pula tidak berdepan masalah untuk menewaskan Rachel Arnold 11-7, 6-11, 13-11, 11-4.

"Boleh dikatakan yang saya agak berpuas hati dengan prestasi saya hari ini dan semalam.

"Walaupun keputusannya agak rapat, saya fikir mereka sudah memberikan yang terbaik ketika berdepan saya.

"Mereka mencuba segala-galanya, Rachel juga memenangi banyak mata.

"Saya gembira kerana dapat melepasinya," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen