Skuasy Kebangsaan: Ivan tepati ramalan pertahan kejuaraan

Oleh Muzaffar Musa 11 Oktober 2020 68
Skuasy Kebangsaan: Ivan tepati ramalan pertahan kejuaraan
Ivan Yuen tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan selepas menewaskan pemain pilihan kedua, Syafiq Kamal, dalam final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Ivan bermula baik apabila mendahului 6-1 dalam set pertama sebelum menghalang kebangkitan yang cuba dilakarkan Syafiq dengan meraih kemenangan 11-8.

Dalam set kedua, Syafiq mula memperkemaskan aksinya untuk mendahului 6-3 tetapi beberapa kesilapan yang dilakukannya membuka peluang untuk Ivan mengejar dan mencatatkan kemenangan 11-9.

Dalam set ketiga, Syafiq sekali lagi mendahului 4-0 tetapi dia gagal mengekalkan momentum itu untuk Ivan bangkit mengejar 6-5 sebelum mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 11-6.

"Saya sememangnya berasa amat gembira hari ini kerana dapat mengawal diri dan kekal fokus sehingga hujung permainan," kata Ivan kepada Astro Arena.

"Saya amat gembira dengan cara permainan saya hari ini dan saya tahu Syafiq berjuang dengan amat gigih dan mahu menang.

"Secara keseluruhan, saya gembira dan bersyukur kerana dapat memastikan kemenangan keempat," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen