Skuad poomsae tidak terjejas tanpa saya -- Wei Yan

Oleh Staff Writer 20 November 2018 45
Skuad poomsae tidak terjejas tanpa saya -- Wei Yan
Jaguh taekwondo negara, Chew Wei Yan, yakin persaraannya tidak akan menjejaskan peluang Malaysia mempertahankan pingat emas acara poomsae individu lelaki di pentas Sukan SEA Filipina tahun depan berbekalkan kehadiran atlet muda, Yong Jin Kun.

Wei Yan kekal dengan pendirian untuk bersara walaupun baru memenangi pingat gangsa dalam Kejohanan Poomsae Dunia di Taiwan, Ahad lalu.

Dia yakin keputusan itu tidak akan menjejaskan kekuatan keseluruhan skuad negara dengan kehadiran beberapa atlet muda, antaranya Jin Kun yang bergandingan dengan Sarah Yap dalam saingan berpasukan campuran sejak tahun lalu.

"Kejohanan paling besar dalam acara poomsae hanyalah Sukan Asia dan saya sudah memperoleh pengalaman itu di Indonesia sebelum ini.

"Sukan Asia yang seterusnya akan berlangsung empat tahun lagi dan saya pasti tidak mempunyai ketahanan sewaktu berusia 30 tahun ketika itu," kata Wei Yan.

Selepas ini, Wei Yan akan beralih ke bidang kejurulatihan bersama kelabnya.

Namun, dia sedia mempertimbangkan jika pihak taekwondo Malaysia menawarkannya tempat dalam barisan kejurulatihan negara.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen