Malaysia akan membuat perhitungan dengan Thailand dalam penentuan gelaran juara Kejohanan Futsal AFF 2017 di Stadium Phu Tho, Vietnam, Jumaat ini.

Skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu tampil cemerlang dalam aksi separuh akhir sebentar tadi apabila membenam Vietnam 5-1 dalam aksi di Bandaraya Ho Chi Minh itu.

Empat gol pantas pada separuh masa pertama menerusi Khairul Effendy Bahrin (m-10 dan 12), Awalluddin Mat Nawi (m-14) dan Akmarulnizam Idris (m-15) memudahkan laluan Malaysia untuk ke babak akhir.

Bagaimanapun, tuan rumah tidak mudah mengalah apabila cuba mengatur asakan bertali arus ke kubu Malaysia.

Begitupun, kekerapan Vietnam mengambil risiko dengan meninggalkan pintu golnya yang terbuka luas berikutan semua pemain mereka memberi fokus di kawasan lawan gagal dimanfaatkan barisan pemain negara.

Lima minit terakhir permainan, Malaysia akhirnya menokok jaringan dan sekali lagi menerusi sentuhan akhir Akmarulnizam sebelum Ngo Ngoc Son menyumbat gol sagu hati buat Vietnam.