Sistem sepasukan dan juga formasi permainan menjadi tumpuan utama ketua jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, dalam persiapan untuk menghadapi Kejohanan AFF, Januari depan.

Skuad futsal negara kini dalam fasa terakhir dengan Chun Yong sedang meneliti 14 pemain terbaik untuk dibawa ke Bangkok, Thailand.

Di Bangkok nanti, Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Laos dan Myanmar.

Tempoh kurang sebulan sebelum pertandingan amat getir dalam memastikan setiap pemain memahami corak permainan yang diinginkan.

Ini termasuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan di Malaysia sebelum bertolak ke Bangkok pada 15 Januari.

"Dalam aspek formasi, pemain memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri di samping cuba mendapatkan momentum.

"Tetapi pemain hanya ada tempoh kurang dua bulan untuk membuat persiapan," ujarnya.

Dalam pada itu, Chun Yong berharap dua muka baharu, Abu Haniffa Hassan serta Nik Akif Syahiran Nik Mat, masih mampu menyertai kem latihan kali ini.

Mereka terbabit dalam persiapan pasukan Felda United bagi menghadapi Piala Belia 2017.

Namun, andai kedua-dua pemain ini gagal mendapat pelepasan, Chun Yong sedia memanggil pemain lain bagi menggantikan mereka.

"Pemain-pemain muda ini sertai kami kerana mereka ini sebahagian daripada program pembangunan kami.

"Mereka masih sedang cuba melaporkan diri kerana mereka berdepan halangan lain."