Pemain skuasy remaja negara, S. Sivasangari, memerlukan masa yang panjang jika mahu berada setaraf dengan ratu skuasy, Datuk Nicol David, meskipun 2016 menjadi tahun paling cemerlang buat dirinya.

Pemain berusia 17 tahun itu dilabelkan sebagai pemain yang mampu meneruskan legasi Nicol pada suatu hari nanti oleh jurulatihnya, Ong Beng Hee, dengan melihat kepada prestasi konsistennya tahun ini.

Muncul selaku juara skuasy individu remaja Asia, Sivasangari kini berada di landasan tepat dalam mengharungi pelbagai lagi kejohanan.

Paling menarik, dia memenangi kesemua enam siri Kejohanan Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia (SSJM), yang bermula di Melaka, April lalu.

“Pencapaian terbaik saya adalah ketika bertanding di Pahang selepas berjaya menewaskan pemain skuasy ranking ke-42 dunia, ia merupakan kejayaan yang tidak saya lupakan,” kata Sivasangari.

Kini, Sivasangari sedang giat menjalani latihan dalam persediaan menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur tahun hadapan.

Diletakkan sasaran untuk meraih pingat emas, pemain dari Kedah itu bernada positif mampu merealisasikan misi tersebut meskipun ia bakal menjadi penampilan sulungnya dalam temasya dwi-tahunan itu.

“Sukan SEA akan berlangsung pada Ogos 2017, sekejap sahaja masa akan berlalu. Jadi, saya sedang membuat persiapan rapi untuk menghasilkan aksi terbaik di sana nanti.”