Atlet boling padang berpengalaman negara, Siti Zalina Ahmad, kini dalam misi memburu gelaran ke-10 dalam Kejohanan Boling Padang Asia Ke-12 di New Delhi, India, dari 3 hingga 9 Oktober depan.

Rekod atlet berusia 38 tahun itu sememangnya cukup gah dalam Kejohanan Boling Padang Asia apabila memenangi kesemua sembilan edisi yang disertainya dalam acara individu.

Tambahan pula, acara individu merupakan acara kegemarannya sejak dahulu, justeru Siti Zalina yakin dia mampu melakukannya sekali lagi di New Delhi setelah mempertahankan kejuaraan itu di Brunei, tahun lalu.

Selain itu, dia juga akan mengambil bahagian dalam acara berpasangan bersama Auni Fathia Kamis, gandingan yang meraih emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lalu.

"Saya berasa teruja. Pencapaian saya di pentas Asia sangat baik, oleh sebab itu saya terus diberikan peluang," ujarnya.

Bagi cabaran kategori lelaki, Fairul Izwan Abdul Muin, menjadi salah satu harapan besar negara melalui acara individu lelaki dan empat sepasukan.

Biarpun baru memulakan latihan hari ini selepas sebulan berehat sebaik berakhirnya temasya KL2017, Fairul Izwan tidak gusar dengan peluang pasukan negara untuk muncul juara keseluruhan, sekaligus mengulangi pencapaian di Brunei.

"Tuan rumah, India, pasti akan memberikan cabaran hebat kerana mereka lebih tahu mengenai selok belok permukaan padang di tempat mereka.

"Saya berharap kami dapat menyesuaikan diri dengan cepat," kata Fairul Izwan lagi.


Senarai penuh skuad negara:

Lelaki

1. Mohammad Soufi Rusli
2. Muhammad Hizlee Abd Rais
3. Mohammad Syamil Syazwan Ramli
4. Zulhilmie Redzuan
5. Fairul Izwan Abd Muin

Wanita
1. Siti Zalina Ahmad
2. Azlina Arshad
3. Auni Fathiah Kamis
4. Nur Ain Nabilah Termizi
5. Zuraini Khalid

Lelaki B-25
1. Mohamad Naufal Azmi
2. Daeng Dhadyry Dahasry

Wanita B-25
1. Noorazlinda Zakaria
2. Nurul Alyani Jamil