Barisan exco Perseketuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi sokongan penuh kepada Presiden, Datuk Abu Samah Wahab, sehingga siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.

Menurut Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh, barisan exco badan induk itu sebulat suara mengekalkan sokongan mereka kepada Abu Samah, yang dianggap banyak berjasa sejak 1990.

Sebelum ini, Abu Samah ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan, namun dibebaskan pada awal bulan ini.

"Perkara-perkara mengenai siasatan SPRM seperti ini juga pernah berlaku dahulu.

"Ia bukan kali pertama berlaku.

"Tetapi ia tidak pernah sampai ke tahap ini di mana presiden telah ditahan untuk diambil keterangan.

"Bila-bila sahaja apabila mereka (SPRM) mahu mengambil keterangan, ia sentiasa dialu-alukan oleh Datuk Abu Samah," katanya.

Sementara itu, Amarjit, yang ditemui selepas Mesyuarat Exco Khas PKBM di Sungai Besi hari ini, berkata pihaknya sedia memberikan kerjasama bagi membantu siasatan itu

"Ada juga exco yang dipanggil untuk membantu siasatan SPRM dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Perkara paling penting, kami mahu menegaskan bahawa PKBM memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk melaksanakan tugas mereka," tambahnya.




Editor: Muzaffar Musa