Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang, menasihatkan pelumba muda, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, agar tidak tergesa-gesa memburu penampilan sulung dalam final Piala Dunia apabila turun beraksi pada siri kedua Piala Dunia di Apeldoorn, Belanda.

Firdaus perlu tenang dan memperbaiki kesilapan ketika saingan separuh akhir Piala Dunia pertama di Glasgow, Scotland, minggu lalu.

The Pocket Rocketman berpendapat pelumba kelahiran Johor itu memiliki potensi besar dalam acara keirin dan pecut, namun perlu bersabar mengutip pengalaman untuk meraih kejayaan dalam Piala Dunia.

"Kalau saya sebagai jurulatih, saya tidak akan terburu-buru ke atas dia kerana ia melibatkan proses.

"Dia akan berada pada tahap saya apabila sampai waktunya dan mungkin lebih baik daripada saya.

"Sekarang apa yang dia perlukan adalah pengalaman sahaja kerana saya lihat dari segi fizikal dan kekuatan mental, dia dah ada," jelas Azizulhasni.

Di Glasgow, Firdaus meraih tangga kelapan keirin dan tersingkir pada pusingan pertama pecut.

Dia muncul wakil tunggal negara pada musim baru Piala Dunia apabila Azizulhasni menarik diri ekoran masalah kesihatan.

Azizulhasni merancang menyertai Piala Dunia ketiga di Cali, Colombia dan keempat (Los Angeles, Amerika Syarikat) awal tahun depan untuk mengumpul mata kelayakan ke Kejohanan Dunia.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu dijadualkan kembali menyertai kem latihan pusat di Melbourne, Australia pada 26 November ini.