Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) Old Boys membuktikan kejaguhan untuk muncul juara Kejohanan Ragbi 7’s Bawah 20 Tahun Tertutup Terengganu, kelmarin.

Skuad bimbingan Ashari Abdullah itu unggul selepas menang 17-12 ke atas Kolej Vokasional (KV) Wakaf Tembesu ‘A’ dalam aksi final di Kompleks Sukan Gong Badak.

Selesa mendahului 17-0 menerusi tiga try dan satu conversion, Sesma OB diberikan tentangan sengit dalam babak berikutnya sebelum berjaya mempertahankan kedudukan 17-12 sehingga wisel penamat.

Aksi final yang berlangsung dalam hujan lebat itu sedikit-sebanyak membataskan rentak kedua-dua pasukan dengan Sesma OB hampir dikejutkan kebangkitan lewat pasukan lawan.

Menurut pengurus pasukan itu, Muhammad Ikmal Lutfi Hazami, semangat tidak pernah mengalah ditunjukkan lawan sudah dijangka sambil menyifatkan kedua-dua pasukan beraksi dengan baik.

Ikmal juga berkata walaupun tiada latihan yang cukup, sentuhan bekas-bekas pelajar sekolah itu ternyata masih berbisa dengan mencatat kemenangan bergaya sehingga ke pentas akhir.

“Walaupun sukar melakukan gerakan-gerakan menarik, saya berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan barisan pemain untuk muncul juara,” ujarnya.

Kejohanan itu yang dianjurkan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) bertujuan mengumpul skuad terbaik seterusnya membentuk pasukan ragbi bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Sebanyak sembilan pasukan mengambil bahagian, yang menyaksikan kategori plate dimenangi KV Wakaf Tembesu ‘B’ yang mengalahkan Titans Old Boys 12-7.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula terpaksa berpuas hati dengan kemenangan kategori bowl selepas mengatasi Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) 24-7.