Selangor muncul juara keseluruhan Kejohanan Ping Pong Milo Malaysia Hopes Ke-31 yang berlangsung di Dewan MKSAK Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

Pasukan itu memenangi tujuh daripada 12 final, sekali gus mengalahkan juara keseluruhan edisi lalu, Kuala Lumpur.

Tujuh kejuaraan yang diraih Selangor termasuk tiga kategori berpasukan dan empat kategori individu.

Bagi kategori B-13, pasukan lelaki dan perempuan Selangor masing-masing muncul juara selepas menewaskan Johor serta Kuala Lumpur di final.

Selangor juga menambah kejuaraan mereka menerusi pasukan lelaki B-10 yang menewaskan Sarawak 3-0 dalam final, namun skuad perempuan mereka terpaksa berpuas hati sebagai naib juara kategori berkenaan selepas tumpas 2-3 kepada Kuala Lumpur.

Bagi acara individu, Selangor memenangi kategori B-10 menerusi Hadif Kamal yang menewaskan rakan sepasukannya, Pang Xiang Jun, 3-1 dalam final.

Selangor kemudian meneruskan kecemerlangan mereka dalam kategori B-13 selepas Lee Yong Yi dan Lennard Teh masing-masing menjuarai acara lelaki serta perempuan.

Untuk rekod, Selangor memenangi final pertama mereka semalam menerusi Hadif dan Cheong Jun Ming bagi kategori B-10 beregu.

Kejohanan empat hari itu telah menarik seramai 450 atlet dari seluruh negara.