Jaguh bina badan negara, Sazali Samad, mempersoalkan hukuman tidak adil ke atas dirinya dengan atlet angkat berat kebangsaan yang digantung ekoran positif doping ketika menghantar rayuan kedua kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), hari ini.

Sazali menghantar rayuan kali kedua kepada PBBM sebagai langkah terakhir sebelum membawa kes itu ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

Atlet kelahiran Batu Pahat, Johor itu mendakwa penggantungan empat tahun ke atasnya ekoran positif steroid tahun lalu wajar dikurangkan berdasarkan kes membabitkan atlet angkat berat negara.

“Mengapa saya tidak boleh mendapat pengurangan itu. Saya membuat rayuan kali kedua serta mencari keadilan dalam isu ini,” kata Sazali.

Mr Universe 10 kali itu ditemani peguamnya, Mohd Norasmawi Norani, ketika hadir di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, hari ini.

“Untuk rayuan kedua, kami memberikan tumpuan kepada keputusan yang dilakukan oleh Persatuan Angkat Berat (PABM) apabila menyaksikan atlet mereka dikurangkan hukuman kepada dua tahun tanpa melakukan sebarang rayuan,” jelas Norasmawi.

Atlet angkat berat, Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan, hanya digantung dua tahun selepas dikesan positif steroid ketika menjalani kem latihan skuad negara di China, April lalu.

Mereka menjalani ujian ketika di luar kejohanan -- situasi sama seperti Sazali.

Dalam pada itu, Sazali turut mengulas kejayaan Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang meraih Mr World kategori fizikal badan dalam Kejohanan Bina Badan Dunia di Pattaya, Thailand, Ahad lalu.

“Saya telah berlatih bersama Syarul dalam tempoh yang sangat panjang dan akhirnya dia berjaya bergelar Mr World.”