Saya tidak jangka sakit COVID-19 seburuk ini -- Irfan Shamsuddin

Oleh Muzaffar Musa 2 Januari 2021 4402
Saya tidak jangka sakit COVID-19 seburuk ini -- Irfan Shamsuddin
Jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, berkata kesakitan yang ditanggungnya berikutan jangkitan COVID-19 jauh lebih buruk daripada yang dijangkakan.

Pemenang pingat emas dalam empat edisi Sukan SEA itu sedang menjalani sesi latihan di Leipzig, Jerman dan disahkan positif virus berkenaan kelmarin.

Dalam satu temu bual Nadi Weekend bersama wartawan, Bazly Azmi, hari ini, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu menceritakan keperitannya melawan penyakit berkenaan.

"Sewaktu mula-mula dahulu, saya hanya batuk dan selsema. Ia tidak serius dan rasa seperti normal kerana cuaca di sini (Leipzig) pun sejuk.

"Selepas keputusan ujian (COVID-19) keluar, malam itu saya sudah mula menggigil tetapi apabila saya memeriksa suhu, tiada (demam).

"Perasaan saya semalam semakin buruk. Apabila saya bangun, badan saya rasa penat, mata saya merah dan bengkak. 

"Saya tidak pernah rasa seperti itu. Saya tidak menjangkakan (sakit) COVID-19 akan seburuk ini.

"Sekarang ini saya  berasa amat-amat keletihan dan kepala saya pening," katanya.

Mengulas lanjut, dia menambah: "Kalau ada apa-apa, hospital terdekat hanya 100 meter dari sini.

"Di sini, rawatan hanya akan diberikan apabila (keadaan) sudah teruk."


 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen