'Saya tidak dapat apa-apa', itu jawapan pelari menara negara, Soh Wai Ching apabila ditanya mengenai ganjaran ataupun wang kemenangan yang diperoleh jika berjaya mencatat tiga rekod baru dalam Malaysia Book of Records.

Wai Ching turut meluah keterujaan serta keresahannya untuk mencatatkan tiga rekod itu pada 12 Januari ini di Technogym, Kuala Lumpur.

"Saya mengetahui tiada pertandingan, tiada perlumbaan dan wang hadiah. Tidak mengapa kerana saya mahu mempromosikan sukan ini. Saya tidak akan mendapat apa-apa daripada acara ini," kata Wai Ching.

"Apa yang penting adalah dedikasi dan semangat untuk membuat latihan dan mendapatkan penajaan bagi menganjurkan acara ini."

Sebelum ini, Wai Ching berjaya menjadi pemegang 'Guinness World Record' untuk cabaran pendakian tangga menegak lelaki selepas melakukan catatan satu jam dengan jarak 1.295 kilometer.

Kini Wai Ching akan cuba mencatat tiga lagi rekod baru iaitu mencatat masa terpantas mencapai ketinggian Menara Berkembar Petronas menggunakan "Stair Climb Machine".



Rekod kedua adalah mencatat masa terpantas dengan jarak 1000 meter menggunakan stair climb machine dan rekod terakhir ialah mencatat langkah terbanyak menggunakan peralatan itu dalam tempoh satu jam.