"Saya harap mereka menyesal," demikian luahan jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, selepas dinobatkan Mr. World kategori fizikal badan di Kejohanan Bina Badan Dunia di Pattaya, Thailand.

Syarul mengukuhkan reputasi sebagai atlet bina badan nombor satu negara.

Dia atlet pertama negara menjuarai kategori fizikal badan bawah 170sm kerana sebelum ini tumpuan lebih diberikan kepada atlet yang sedang menjalani penggantungan, Sazali Samad.

Namun, Syarul terkilan apabila bina badan tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Saya berharap kejayaan ini akan memberi semangat kepada rakan sepasukan dan mereka di luar sana yang mahu menceburi sukan bina badan.

"Saya juga berharap kejayaan ini akan membuka mata Majlis Sukan Negara (MSN)," jelas Syarul.

Malaysia tidak mempertandingkan bina badan kerana kebimbangan akan timbul isu doping susulan kes membabitkan Sazali yang juga Mr. Universe 10 kali hingga digantung empat tahun.

Selain Syarul, Malaysia turut merangkul satu lagi pingat emas apabila Lilian Tan menjuarai kategori bawah 55kg.

Skuad bina badan negara dijadual pulang ke tanah air esok.