Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, ingin melihat senarai atlet ke Sukan Asia di Indonesia terlebih dahulu sebelum meletakkan sasaran yang wajar buat kontinjen negara.

Susulan persembahan dalam Sukan Komanwel Gold Goast yang melabuhkan tirainya kelmarin, timbul pelbagai persoalan khususnya mengenai kemampuan atlet di bawah Program Podium kendalian Institut Sukan Negara (ISN).

Program Podium menetapkan kedudukan 10 terbaik di Gold Coast sebagai matlamat utama, namun kutipan tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-12 keseluruhan.

Justeru, Tunku Imran berasa tidak wajar sasaran serupa diletakkan untuk Sukan Asia kerana persaingan bagi peringkat itu jauh lebih tinggi berbanding Komanwel.

"Saya tidak berasakan sesiapa pun sudah boleh menyatakan sasaran Sukan Asia memandangkan atlet belum dipilih lagi.

"Selagi senarai atlet dan undian belum dibuat, sukar untuk kami meletakkan sasaran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM yang terakhir bagi penggal 2015/2018 di Wisma MOM, hari ini.

Menerusi ketetapan sebelum ini, MOM akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi memilih pucuk pimpinan baru pada 5 Mei ini.

Dalam masa sama, MOM akan mencari pengganti kepada kedudukan salah seorang timbalan ketua kontinjen ke Sukan Asia yang sebelum ini ditugaskan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Saya dah berbincang dengan Ketua Kontinjen Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, tentang kekangan tugas yang mungkin memerlukan saya di Jakarta, khususnya melibatkan pergerakan dan sokongan yang lain.

"Dia juga bersetuju bahawa kalau saya diletakkan di Palembang, agak sukar untuk saya membantu," ujar Shapawi.

Sementara itu, Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, mengambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai pencalonan bagi jawatan presiden badan berkenaan bagi penggal 2018-2021.

Norza merupakan calon tunggal setakat ini yang menyatakan hasrat secara terbuka untuk bertanding bagi jawatan berkenaan.

Tarikh tutup pencalonan ialah pada 24 April ini dan Norza difahamkan telah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan beberapa wakil persatuan sukan kebangsaan bagi menyatakan kesediaannya menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Tunku Imran.

"Penamaan calon pemilihan MOM akan berlaku pada 24 April, iaitu pada Selasa, hanya pada ketika itu kita akan ketahui sama ada saya akan bertanding atau ditandingi.

"Apa sahaja yang berlaku pada hari tersebut, semua ahli gabungan tahu saya telah menawarkan diri untuk khidmat bakti kepada MOM," kata Norza.